Monday 7 March 2011

EVALUATION OF TALENTED LEARNERS

http://teachertools.londongt.org/index.php?page=evaluatingTheGTStrand

LEARNING STYLES

http://teachertools.londongt.org/index.php?page=educatorLearningStyles

IDENTIFYING GIFTED AND TALENTED STUDENTS

http://teachertools.londongt.org/index.php?page=identifyingGiftedAndTalentedStudents

PENULISAN ILMIAH 1

PENDAHULUAN.
Murid pintar cerdas ialah murid yang mempunyai tahap keupayaan kognitif yang tinggi dan keupayaan pengamatan yang tinggi dalam menghubung antara pengalaman yang dilalui dengan dunia sebenar dengan cara yang unik dan berbeza daripada kanak-kanak biasa. 
Terdapat tiga asas perbezaan keupayaan antara murid pintar cerdas berbanding murid biasa iaitu keupayaan untuk belajar dengan lebih pantas, keupayaan untuk mencari, menyelesaikan dan bertindak dengan masalah-masalah dengan lebih bersedia dan keupayaan untuk memanipulasikan idea-idea yang abstrak dan membuat hubungan dengan lebih mudah berbanding murid biasa (VanTassel-Baska & Stambaugh,2006).
Berdasarkan keupayaan-keupayaan tersebut, keupayaan memanipulasikan idea yang abstrak menunjukkan bahawa murid pintar cerdas ini mempunyai daya kreativiti yang tinggi. Menurut Guilford, (1950) kreativiti ialah keupayaan untuk memanipulasikan idea dengan lancar, fleksibel, teliti dan asli.  
APA ITU KREATIVITI?
Menurut Harris (1998), kreativiti ialah gabungan daripada tiga domain iaitu keupayaan, sikap dan proses. Keupayaan iaitu keupayaan untuk berimaginasi atau mencipta sesuatu yang baru. Kreativiti juga ialah keupayaan menjana idea-idea baru dengan menggabung, mengubah atau mengguna semula idea-idea yang sedia ada. Kreativiti juga adalah sikap iaitu keupayaan untuk menerima berubahan dan pembaharuan serta kesanggupan untuk bermain dengan idea-idea dan sebarang kemungkinan dan sanggup mengambil risiko.
Kreativiti juga adalah satu proses di mana orang yang kreatif sentiasa bekerja keras dan secara berterusan untuk menambah baik idea-idea dan penyelesaian-penyelesaian yang telah dilakukan. Orang yang kreatif sentiasa yakin bahawa sentiasa ada jalan untuk menambah baik sesuatu perkara. Dengan adanya tiga domain tersebut, maka lahirlah kreativiti dalam diri murid terutamanya murid pintar cerdas.
Kreativiti adalah perkataan yang selalu dikaitkan dengan seni, muzik dan lain-lain lagi. Menurut Chambers (2008), kreativiti dalam matematik ialah kemahiran yang boleh dipindahkan iaitu pengetahuan yang dibina oleh murid di bilik darjah dan dapat diaplikasikan di luar bilik darjah.  

PERSONALITI KANAK-KANAK YANG KREATIF

Ciri-ciri murid pintar cerdas yang mempunyai kreativiti secara umumnya mempunyai daya ketahanan dan motivasi yang tinggi terutamanya motivasi intrinsik. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, keyakinan diri yang mantap dan lebih tertarik kepada perkara dan masalah-masalah yang kompleks dan rumit. Ini kerana mereka melihat masalah itu sebagai satu peluang yang dapat mencabar keupayaan mereka.
Murid yang kreatif juga dilihat lebih fleksibel dan mempunyai keupayaan yang tinggi bermain dengan idea dan fantasi. Selain itu, ciri yang lain ialah mempunyai komitmen terhadap kerja yang mendalam dan tidak mudah putus asa dalam mencari penyelesaian dan menghasilkan sesuatu. Menurut Runco (1993b) orang yang kreatif dilihat sebagai orang yang introvert dan mempunyai kepintaran intrapersonal yang tinggi. Ia tidak bergantung kepada orang lain dan lebih gemar berdikari. Menurut McLelland (1963) “willingness to take risks is a critical attribute of the highly creative individual”(ms184). Walaubagaimanapun, kreatif adalah berbeza ciri-cirinya antara satu sama lain. Oleh itu adalah sukar untuk membuat perbandingan antara satu sama lain.       
Dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif, motivasi instrinksik dilihat sebagai perkara utama yang mendorong untuk menghasilkan karya yang kreatif (Amabile, 1983). Motivasi intrinksik ialah motivasi yang berpunca dari dalam diri yang didorong oleh faktor ingin tahu yang tinggi dan kepuasan dalaman. Motivasi intrinksik adalah penting kerana tempoh masa yang diambil agak lama dalam menghasilkan sesuatu karya dan dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan. Oleh itu, tanpa motivasi intrinsik, murid tidak akan sabar dalam mencari strategi-strategi penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan menyelesaikan masalah tersebut.
Dalam bidang pembelajaran, terdapat lima dimensi tentang motivasi intrinsik. Dimensi-dimensi ini adalah cabaran, insentif bekerja bagi memuaskan minat dan sifat ingin tahu, percubaan penguasaan yang bebas, penilaian yang bebas berkenaan apa yang hendak dilakukan di dalam kelas dan kriteria dalaman untuk kejayaan.
Murid pintar cerdas yang kreatif lebih cenderung mempunyai motivasi intrinsik kerana sukakan tugasan-tugasan yang mencabar. Mereka mempunyai insentif yang lebih untuk menyiapkan tugasan bagi memanfaatkan kepuasan diri sendiri daripada mengambil hati guru dengan hanya mendapat gred yang baik. Mereka lebih suka mencuba mengatasi masalah dengan sendiri daripada bergantung pada bantuan ataupun bimbingan guru. Mereka juga menerapkan suatu sistem penguasaan matlamat dan taraf penilaian yang membolehkan mereka membuat penilaian bebas berkenaan kejayaan ataupun kegagalan mereka di dalam kelas tanpa bergantung pada guru bagi mendapat maklumat ataupun penilaian.  
Walaupun kreativiti jelas dikaitkan dengan motivasi yang wujud dalam diri individu, tetapi kreativiti juga boleh dibina dan dipupuk dalam diri kanak-kanak pintar cerdas ini. Peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam memupuk dan merangsang perkembangan kreativiti murid-murid ini.
PERANAN IBU,BAPA DAN GURU
Sekolah adalah institusi yang sepatutnya dapat membangunkan lagi kreativiti murid pintar cerdas. Namun menurut Torrance (1990), sekolah adalah cabaran pertama kepada murid-murid ini dalam mengembangkan kreativiti. Ini kerana guru-guru dan ibu bapa lebih mengharapkan mereka menjadi murid yang patuh dan mengikut semua peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Sikap patuh secara melampau hanya akan memusnahkan potensi kreativiti murid-murid tersebut.
Terdapat banyak cara ibu bapa dapat memupuk dan merangsang kreativiti anak-anak pintar cerdas ini bermula peringkat usia yang masih kecil lagi. Perkara yang paling penting ialah memberi perhatian dan layanan serta penghormatan kepada semua ahli keluarga. Dengan ini, anak tersebut akan rasa dihargai dan lebih yakin dalam memberi idea-idea dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ibu bapa juga mestilah menyediakan aktiviti-aktiviti yang dapat menggalakkan sifat ingin tahu, penerokaan, eksperimen dan soalan-soalan yang dapat membangunkan bakat kreatif anak-anak. Ibu bapa juga mestilah memberi sokongan terhadap aktiviti-aktiviti dan usaha pihak sekolah dalam mengembangkan kreativiti anak-anak.   
Guru–guru perlu memberikan perhatian secara individu terhadap setiap murid pintar cerdas untuk membangunkan kreativiti berdasar kepada keperluan mereka. Aktiviti-aktiviti yang diberi mestilah mencabar minda dan member mereka peluang untuk belajar, berfikir, dan membuat penemuan sendiri terhadap sesuatu aktiviti.
Ibu bapa dan guru-guru mestilah menghargai idea-idea dan soalan-soalan mereka dan sentiasa melayan persoalan-persoalan yang timbul. Ini kerana sifat ingin tahu mereka yang sangat tinggi. Sekiranya ibu bapa dan guru mendesak mereka untuk diam dan menjadi lebih realistik dan berhenti berimaginasi,maka secara tidak langsung akan ‘membunuh’ kreativiti mereka.
Creativity is a skill that that needs to be promoted across the curriculum. Creative thinking should enasbles pupils to generate and extend ideas, to suggest hypothesis, to apply imagination and to look for alternatives outcomes. (QCA, 1999a ms22)
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KREATIF DAN KRITIS (KBKK)
Guru-guru juga mestilah memberi didikan dan pengetahuan untuk menjadikan murid pintar cerdas ini mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi. Menurut Chaffe 1988, kemahiran berfikir ialah proses luar biasa yang digunakan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. John F. Feldhusan menyatakan bahawa pemikiran yang mencapai tahap kognitif yang lebih tinggi adalah dianggap dapat menyalurkan kekuatan pemikiran tersebut dalam apa jua keadaan dan situasi yang bermasalah. Vincent R. Ruggiero 1984 mentakrifkan berfikir sebagai aktiviti mental yang membantu menyelesaikan masalah, membuat keputusan atau memenuhi kehendak untuk memahami sesuatu dalam mencari jawapan yang bermakna.
Di Malaysia, sistem pendidikan di sekolah rendah tidak hanya menekankan aspek 3M (membaca, menulis dan mengira) sahaja, malah menekankan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK) yang diperlukan sebagai elemen merentas kurikulum di dalam pendidikan matematik dan metapelajaran yang lain. Dalam kurikulum standard (KSSR) ini juga, kemahiran ditambah menjadi 4M iaitu dengan mengambil kira kemahiran menaakul iaitu kemahiran berfikir mengikut pertimbangan.   
Kemahiran berfikir boleh dibahagikan kepada dua kemahiran utama iaitu kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran berfikir secara kritis. Bahagian otak kanan melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif iaitu yang menghasilkan idea-idea, membuat hipotesis, sintesis dan lain-lain lagi. Manakala bahagian otak kiri melibatkan kemahiran berfikir secara kritis yang mana ia melibatkan kemahiran membanding dan membeza,membuat kategori, membuat inferens dan lain-lain lagi.
Kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai pemikiran kreatif secara umumnya mempunyai ciri-ciri seperti yang telah dinyatakan di atas iaitu sering tercabar dengan idea-idea baru dan sentiasa mempamerkan tingkah laku yang bertenaga dalam menjalankan eksperimen dan menyelesaikan sesuatu tugasan dengan penuh semangat. Dalam menyesuaikan gaya pengajaran terhadap kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai pemikiran kreatif ini, lima komponen asas yang digunakan sebagai panduan mengajar murid-murid pintar cerdas iaitu kelancaran, fleksibel, keaslian, penghuraian dan penilaian (Smutny, 1997).
 Kelancaran ialah komponen pertama dalam pemikiran kreatif. Dalam mengekspresikan kreativiti, kelancaran adalah keupayaan muird-murid melahirkan dan menjana idea-idea yang bernas dengan mudah dan lancar. Terutamanya apabila murid memberi respon terhadap soalan atau permasalahan yang diutarakan oleh guru.
Komponen yang kedua ialah fleksibeliti iaitu keupayaan dalam mencari dan memberi idea-idea dan penyelesaian alternatif terhadap sesuatu masalah. Pemikir yang fleksibel melihat masalah daripada pelbagai sudut untuk membuat penilaian dan mencari penyelesaian dan tidak tertumpu hanya pada satu jalan penyelesaian sahaja.
Keaslian juga merupakan komponen yang penting dalam pemikiran kreatif. Pemikiran yang kreatif amat menitikberatkan idea-idea yang asli dan unik. Untuk menggalakkan murid-murid ini mempunyai keaslian dalam pemikiran, guru perlu memberi penekanan dalam memberi idea sendiri tanpa mencedok idea orang lain.
Seterusnya komponen yang keempat di dalam pemikiran kreatif ialah penghuraian. Murid yang kreatif, dapat menghuraikan idea-idea yang dilontarkan dalam bentuk yang lebih terperinci. Dengan ini akan menjadikan idea-idea tersebut lebih praktikal dan boleh diaplikasikan dan menjadikan idea-idea tersebut sebuah realiti.
Komponen yang terakhir dalam pemikiran kreatif ialah penilaian. Dalam Pemikiran Kreatif Taxonomy, penilaian adalah tahap pemikiran yang paling tinggi. Penilaian adalah proses berterusan dalam menilai semula idea-idea dan membuat sedikit perubahan sekiranya perlu.
Sekiranya guru-guru menjalankan proses untuk memupuk pemikiran kreatif dengan melaksanakan kelima-lima komponen asas yang telah dinyatakan di atas di bilik darjah, maka akan lahirlah ramai murid pintar cerdas yang mempunyai kemahiran pemikiran kreatif yang tinggi.
Kemahiran berfikir secara kritis ditakrifkan sebagai “reflective and reasonable thinking that is focused on deciding what to believe or do” (Ennis 1985 ms 45). Berdasarkan takrifan tersebut, secara amnya murid-murid yang mempunyai pemikiran kritis sentiasa berfikiran terbuka dengan mengambil kira semua perkara dalam suatu situasi dengan membuat penelitian terhadap bahagian-bahagian kecil dan keseluruhannya sebelum membuat sebarang keputusan dan menyelesaikan masalah. Murid yang mempunyai pemikiran kritis mampu membuat inferens dan ramalan terhadap sesuatu perkara sebelum mendapat penyelesaian yang muktamad.
KEMAHIRAN KOGNITIF TAKSONOMI BLOOM
Menurut kemahiran kognitif Taksonomi Bloom, terdapat enam tahap kognitif, dari aras yang paling rendah ke tahap pemikiran yang paling tinggi iaitu pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan tahap yang paling tinggi ialah penilaian.
Pada tahap pertama, murid bertindak sebagai penerima pasif manakala guru pula sebagai penyampai maklumat dan berlaku pemindahan maklumat daripada guru kepada murid. Murid hanya menerima apa yang disampaikan oleh guru sebagai pengetahuan. Tahap yang kedua, murid bertindak sebagai peserta yang aktif yang mana akan memberi respond berdasarkan soalan-soalan yang dilontar oleh guru, menunjukkan pemahaman murid terhadap maklumat yang telah diterima. Pada aras kognitif pertama dan kedua, tahap pemikiran yang diperlukan hanyalah pada tahap rendah.
Seterusnya, tahap yang ketiga ialah aplikasi, dimana murid perlu menggunakan pengetahuan dan pemahaman yang diperolehi untuk diaplikasikan terhadap situasi yang baru seperti murid dikehendaki menyelesaikan soalan-soalan yang berbentuk masalah dan situasi dan melibatkan aktiviti praktikal. Begitu juga dengan aras analisis, dimana murid mampu untuk menganalisa dan membuat hubungkait diantara suatu perkara dengan perkara yang lain serta mencari pattern.
Pada tahap sintesis, murid memerlukan tahap pemikiran kognitif yang lebih tinggi dan lebih kompleks. Tahap sintesis ini, murid memerlukan kemahiran berfikir secara kreatif dalam mengintegrasikan idea-idea, maklumat dan pengetahuan sedia ada dalam mencipta sesuatu yang asli sepanjang proses melakukan suatu tugasan dan menyelesaikan masalah.
Seterusnya, tahap pemikiran kognitif yang terakhir iailah penilaian. Ia adalah aras yang paling tinggi dalam domain kognitif. Aras penilaian melibatkan proses membuat pertimbangan, memilih kriteria-kriteria dalam membuat pertimbangan dan akhirnya mengaplikasikannya dalam membuat sesuatu keputusan. Domain kognitif Taksonomi Bloom ini amat berguna di dalam aktiviti berfikir dengan melibatkan penyelesaian masalah. Oleh itu guru perlulah menjalankan aktiviti penyelesaian masalah di dalam mendidik dan menggalakkan murid-murid pintar cerdas tentang kemahiran berfikir. Ini kerana tugasan atau masalah yang diberi akan memberi peluang kepada murid-murid pintar cerdas ini dalam mengasah pemikiran kreatif dan kritis.

PENYELESAIAN MASALAH.
Dalam membincangkan tentang kemahiran berfikir, ia tidak dapat dipisahkan dengan penyelesaian masalah. Penyelesaian masalah adalah aspek yang terpenting dalam matematik dan perlu diterapkan dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia merupakan kemahiran berfikir yang menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik serta boleh dijadikan sebagai satu pendekatan. Pendekatan penyelesaian masalah memberi penekanan terhadap perkembangan pemikiran matematik dan keupayaan menaakul yang dilakukan melalui aktiviti yang konkrit dan berfikrah.
Penguasaan kemahiran penyelesaian masalah akan membolehkan murid mengaplikasikan dan mengadaptasikan berbagai strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah baru. Kejayaan murid dalam penyelesaian masalah bergantung kepada pengalaman, sikap, kepercayaan, kesediaan dan keyakinan murid. Justeru itu, semua aktiviti penyelesaian masalah perlu berasaskan kepada persekitaran dan pengalaman sebenar murid. (Pusat Perkembangan Kurikulum,2001).
Penyelesaian masalah ialah proses yang dilakukan oleh pelajar untuk mencapai matlamat, berdasarkan maklumat yang diberikan dalam sesuatu masalah. Pelajar harus mampu menterjemahkan dan mengintergrasikan maklumat dalam masalah tersebut agar masalah itu dapat difahami. Selain itu, pelajar juga harus mampu merancang dan melaksanakan strategi, serta memiliki pengetahuan tentang prosedur penyelesaiannya.(Mohd Uzi,2006).
  Dengan memahami apa itu penyelesaian masalah dan proses-proses dalam  menyelesaikan masalah terutamanya yang bukan rutin, sudah tentu kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis sangat diperlukan dalam mencari penyelesaian masalah tersebut. Oleh itu, guru yang mengajar dan memupuk kemahiran berfikir di kalangan kanak-kanak pintar cerdas ini perlulah memberi aktiviti-aktiviti yang berbentuk penyelesaian masalah. Dalam proses menyelesaikan masalah, kanak-kanak pintar cerdas ini akan diuji dengan pelbagai tahap kognitif terutamanya aras sintesis dan penilaian yang mana memerlukan tahap pemikiran yang amat tinggi.
KESIMPULAN.
Kanak-kanak pintar cerdas adalah golongan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan dan keupayaan yang lebih berbanding kanak-kanak biasa di dalam keupayaan untuk belajar dengan lebih pantas, keupayaan untuk mencari, menyelesaikan dan bertindak dengan masalah-masalah dengan lebih bersedia dan keupayaan untuk memanipulasikan idea-idea yang abstrak dan membuat hubungan dengan lebih mudah.
Golongan ini mesti diberi aktiviti dan tugasan yang lebih mencabar di dalam mencungkil dan memupuk pemikiran kreatif dan kritis mereka. Seperti contoh aktiviti yang melibatkan mereka meneroka sesuatu perkara, membuat eksperimen dan tugasan yang berbentuk penyelesaian masalah. Seiring dengan personaliti dan ciri-ciri mereka yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, sukakan cabaran dan kesanggupan menanggung risiko.
Kesimpulannya, kreativiti dan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis serta membuat pertimbangan yang akhirnya mampu membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah boleh dipupuk di dalam diri dan pemikiran kanak-kanak pintar cerdas ini.  Oleh itu, pelbagai pihak terutamanya ibu, bapa dan guru haruslah memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan kreativiti dan kemahiran berfikir mereka ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.