Sunday 3 April 2011

PESAN GURU...


DOKUMENTASI HARI USAHAWAN MUDA




PENULISAN PROJEK BERASASKAN SEKOLAH





1.1       PENGENALAN
            Cabaran kepada penubuhan sebuah negara maju, seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020, memerlukan tenaga kerja yang berasaskan pendidikan Sains dan Matematik. Dalam dunia yang berubah ini, seseorang yang cekap dalam Matematik boleh meningkatkan lagi peluang dan pilihan bagi menentukan masa depan mereka (National Council for Teachers of Mathematics, 2000). Menyedari hasrat tersebut, pendidikan Matematik mestilah berupaya mendidik pelajar memperkembangkan pemikiran mantik, analisis, sistematik, kreatif dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah dan berkebolehan menggunakan ilmu pengetahuan Matematik.     
            Penyelesaian masalah juga merupakan aspek yang terpenting dalam matematik dan perlu diterapkan dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia merupakan kemahiran berfikir yang menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik serta boleh dijadikan sebagai satu pendekatan. Penguasaan kemahiran penyelesaian masalah akan membolehkan murid mengaplikasikan dan mengadaptasikan berbagai strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah baru (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Justeru, kurikulum yang di ajar di sekolah seharusnya dapat menanam sifat ingin mengkaji dan mentafsir simbol-simbol Matematik yang abstrak kepada bentuk yang mudah agar dapat memberi keseronokan kepada pelajar untuk mempelajari mata pelajaran ini.
            Oleh demikian, pengajaran dan pembelajaran matematik KBSR perlu dirancang dan dikendalikan dengan lebih efektif bagi mewujudkan pengalaman, keseronokan dan cabaran kepada pelajar terutama kepada pelajar pintar cerdas. Pengalaman, kebolehan, minat, daya dan gaya pelajar yang berbeza perlu diambil kira dan diberi perhatian kerana ia akan menyumbang kepada kecenderungan pelajar terhadap subjek matematik. Guru memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suatu suasana persekitaran bilik darjah yang kondusif supaya ini akan menarik minat pelajar pintar cerdas dan pelajar lain seterusnya menyumbangkan kepada pencapaian yang lebih baik dalam mata pelajaran matematik.
            Pendekatan Bertema dalam pengajaran dan pembelajaran  matematik merupakan salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk membangunkan dan mencungkil kreativiti dan kemahiran berfikir pelajar serta kemahiran penyelsaian masalah. Pendekatan bertema merangkumi koleksi  bahan, aktiviti dan teknik yang disusun sekitar konsep atau tema. Ia merupakan  alat pengelolaan kepada guru untuk menghubungkan antara mata pelajaran yang membolehkan pelajar menghubungkan di antara pemahaman, sikap dan kemahiran termasuk juga bidang-bidang kurikulum.
            Pemilihan tema dengan isi kandungan mata pelajaran adalah berkaitan dengan kehidupan seharian dan cuba diterokai.Tema yang dipilih  merupakan tema yang dapat mempertingkatkan kemahiran diri pelajar. Pemilihan dan penentuan tema adalah  berasaskan konsep, berasaskan kemahiran, berasaskan kandungan dan kemahiran, berfokus kepada isu dan projek. Pemilihan tema ini  mempertimbangkan aspek-aspek berikut :
(i)             Boleh merentas semua mata pelajaran
(ii)            Bersesuaian dan berkaitan dengan dengan pengalaman dan kehidupan pelajar
(iii)           Bersesuaian dengan situasi, masa atau peristiwa
(iv)           Kemudahan untuk mendapatkan bahan dan sumber yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
(v)            Guru berminat terhadap tema yang dipilih
(vi)           Pemeringkatan tema dari yang mudah kepada yang lebih mencabar

            Pendekatan pengajaran bertema ini memberi banyak faedah kepada pelajar iaitu dapat mewujudkan suasana yang menyeronokan dan kondusif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ia juga dapat menyemai daya imaginasi melalui penerokaan  dan  meluahkan perasaan melalui pelbagai aktiviti berlandaskan pengetahuan dan pengalaman lalu. Pengajaran bertema juga dapat memberi cabaran kepada pelajar dalam membuat pilihan yang sesuai dan relevan dalam kehidupan. Kemahiran interpersonal dan intrapersonal juga dapat diperbaiki melalui pendekatan ini. Nilai empati, harmoni dan pemahaman sesama insan yang pelbagai budaya juga dapat disemai. Ia juga dapat membangunkan pembelajaran yang menyeluruh yang menghubungkaitkan pengetahuan, kemahiran dan kreativiti.        
1.2       Pernyataan Masalah
            Memandangkan perubahan fizikal, emosi, dan kognisi yang di alami oleh setiap pelajar berlaku dengan pesat dan pada tahap yang berbeza, justeru peluang pembelajaran yang ditawarkan kepada mereka perlu direka khusus untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang unik serta dapat memenuhi keperluan lengkung pembelajaran pelajar yang pelbagai.
            Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk mencungkil dan melihat bagaimana pelajar menggunakan kreativiti dan kemahiran berfikir mereka dalam pengajaran bertema ini iaitu Hari Usahawan Muda untuk penyelesaian masalah. Aktiviti seperti  Hari Usahawan Muda ini menjadi lebih menarik melalui pelbagai aktiviti yang dilakukan dan memerlukan kreativiti yang tinggi. Para pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan diberi tugasan menjual barangan seperti gula-gula, dan emping jagung. Barangan tersebut diberi dalam peket yang besar. Pelajar perlu menjual barang tersebut dengan mengambilkira kos, untung, rugi, belanja dan hasil. Pelajar lebih berkeyakinan dan pembelajaran lebih menyeronokkan. Selain itu juga, projek ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyemai dan mengaitkan idea-idea dan imaginasi baru dalam bidang keusahawanan. Mereka juga dapat  menilai kefahaman konsep melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan serta dapat menghubungkait  pengetahuan dan kemahiran.
1.3       Objektif kajian
Objektif kajian yang akan dijalankan adalah untuk:
a)    menentukan sejauhmana pelajar menggunakan kreativiti mereka dalam memahami konsep wang.
b)    mengenal pasti pelajar yang mampu menyelesaikan masalah matematik dan menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif
c)    melahirkan murid yang mempunyai kemahiran keusahawanan
1.4       Persoalan Kajian
Kajian ini juga adalah untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan berikut :
a)    Sejauhmanakah pelajar menggunakan kreativiti mereka dalam memahami konsep wang?
b)    Adakah pelajar mampu menyelesaikan masalah matematik dan menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif?
c)    Adakah murid mempunyai kemahiran keusahawanan?


2.0       TINJAUAN LITERATUR
            Pendekatan tema atau bertema menekankan tema pembelajaran. Strategi pengajaran bertema menyediakan isi kandungan dan rangka untuk menyusun aktiviti pembelajaran dan mengintegrasikan pelbagai bidang kurikulum. Kanak-kanak dapat membina kemahiran dan mempelajari topik- topik tertentu dalam ruang lingkup yang lebih luas. Kemahiran dan konsep yang akan dikuasai oleh kanak-kanak disesuaikan dengan tema pembelajaran. Pendekatan tema menyediakan kandungan dan kerangka kerja untuk menyusun aktiviti pembelajaran yang merentasi pelbagai bidang.
            Selain itu, peluang lebih terbuka untuk kanak-kanak menerokai pelbagai bidang berdasarkan pengalaman melalui penglibatan yang aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pengalaman guru dan juga pengalaman kanak-kanak perlu dititikberatkan sebelum memulakan pengajaran bertema. Unit-unit  dirancang berdasarkan minat kanak-kanak dan sesuai dengan latar belakang pengalaman dan tahap perkembangan mereka.
            Pendekatan bertema dalam mengajar matematik dapat memberi manfaat kepada pelajar kerana mempunyai kekuatan untuk memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam situasi sebenar dan meningkatkan hasil kognitif dan afektif pelajar (Freeman & Sokoloff, 1995; Wubbels, Korthagen & Broekman, 1997).
            Pengajaran bertema dalam matematik menekankan penggunaan aplikasi matematik dalam topik yang diajar. Pengajaran bertema juga memudahkan pembelajaran pelajar yang terletak kepada pengalaman dan membawa makna peribadi dalam proses pembelajaran (Handal, Bobis & Grimison, 2001). Pengajaran tematik dalam matematik merupakan istilah umum untuk berbagai pengalaman pendidikan matematik yang berkaitan dengan situasi kehidupan nyata (Handal, 2000). Situasi kehidupan nyata berfungsi sebagai perwakilan dari konsep matematik atau teknik. Perwakilan ini merupakan sebuah gerakan dari konkrit, iaitu dunia setiap hari adalah benda, masalah, dan aplikasi matematik kepada dunia abstrak iaitu wakil "simbol matematik, operasi dan teknik dan / atau sebaliknya.
            Secara umum, pendekatan bertema ini dikategorikan sebagai konsep matematik dari konkrit kepada abstrak, pembelajaran dalam bentuk projek dan penyelidikan, belajar interaktif, berdisiplin dan penilaian adalah berdasarkan konstruktivis dan bukan berbentuk hafalan (Freundenthal, 1991, cited by De Lange, 1993).
            Pendekatan bertema ini adalah salah satu cara pengajaran dan pembelajaran untuk memahami konsep sesuatu topik dan juga kemahiran penyelesaian masalah. Menurut Noor Shah Saad (2001), penyelesaian masalah merupakan satu proses yang terancang untuk mencapai matlamat yang tidak mungkin dicapai dengan segera dalam sesuatu masalah. Proses ini memerlukan pengetahuan dan pengalaman, serta membabitkan penggunaan kemahiran-kemahiran yang dipelajari dalam bilik darjah secara praktis. Ia bertujuan untuk mengatasi halangan yang tertentu. Para pelajar perlu menjalankan beberapa aktiviti khusus seperti menerima cabaran, menjelaskan tujuan, mentafsir, menjalankan perancangan dan menyemak semula jawapan yang diperolehi supaya tujuan ini tercapai.           
3.0       METODOLOGI KAJIAN
Reka bentuk kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Kajian ini menggunakan proses temu bual kerana ia lebih bersifat fleksibel dan keadaan ini membolehkan sampel menghuraikan apa yang difikirkan oleh penyelidik. Temu bual yang dijalankan adalah untuk mendapatkan maklumat tentang sejauhmana mereka menggunakan kreativiti dalam memahami konsep wang. Temu bual tidak berstruktur digunakan di mana soalan tidak diberikan terlebih dahulu kepada responden.
Pemerhatian juga akan digunakan untuk memerhatikan tingkah laku murid di dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.  Pengkaji akan membuat pemerhatian sambil menjalankan pengajaran dan pembelajaran.
3.1       Sampel
Teknik pensampelan yang digunakan ialah pensampelan bertujuan. Sampel yang diambil adalah murid-murid tahun tiga yang belajar di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor. Bilangan murid yang digunakan adalah seramai empat orang bagi tujuan temu bual. Manakala bagi proses pemerhatian terhadap kelas dan murid-murid pula adalah sebanyak sebuah kelas yang diperhatikan yang mempunyai bilangan murid dua puluh empat orang. Seramai dua puluh empat orang murid di dalam kelas tersebut dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut jantina iaitu dua kumpulan lelaki dan dua kumpulan perempuan. Sebuah kumpulan lelaki dan sebuah kumpulan perempuan memilih menjual emping jagung (popcorns) dan yang lain menjual gula-gula.
3.2       Instrumen
Instrumen kajian merupakan alat yang digunakan untuk memperolehi data. Instrumen yang digunakan untuk merakam proses temu bual adalah dengan menggunakan perakam audio melalui telefon bimbit. Catatan pemerhatian dan kamera digital untuk merekod hasil kerja murid dan juga aktiviti yang melibatkan pelajar dalam pembelajarn bertema ini.

3.3       Pengumpulan data
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk menilai keupayaan murid-murid ini dalam mengendalikan dan menyelesaikan masalah yang melibatkan wang sehingga RM100 dalam situasi sebenar. Untuk menjalankan projek Hari Usahawan Muda ini, murid melalui tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas menjalankan perniagaan.
Sebelum menjalankan aktiviti jual beli, setiap kumpulan dikehendaki berbincang dan merancang tentang produk yang mereka jual pada hari tersebut. Seterusnya menganggarkan berapa kos dan keuntungan yang akan mereka perolehi. Pada peringkat perancangan ini, pemerhatian dan pemantauan daripada guru amat penting terutamanya semasa pembentangan tentang rancangan yang telah dibuat oleh setiap kumpulan.
Seterusnya, murid-murid dikehendaki membungkus produk dalam bungkusan yang kecil mengikut seperti yang telah dirancang. Peringkat ini memerlukan kemahiran menganggar dan menimbang.
Setelah proses membungkus selesai, murid akan memastikan bilangan bungkusan sebenar, harga kos yang sebenar seterusnya menetapkan harga jualan mengikut jenis barang yang akan dijual oleh setiap kumpulan. Akhirnya aktiviti jual beli bermula dengan setiap kumpulan menjual barang mereka mengikut kreativiti masing-masing dalam melariskan jualan mereka. Aktiviti jual beli ini dijalankan semasa waktu rehat.
Selesai peringkat jual beli, peringkat seterusnya ialah merekodkan transaksi jual beli dan menghitung keuntungan atau kerugian yang diperolehi hasil daripada jualan oleh setiap kumpulan dan akhirnya membentangkan penyata untung rugi di hadapan kelas.
Sepanjang kajian dilaksanakan, semua barang dan bahan disediakan oleh pengkaji bagi memudahkan murid-murid melaksanakan perkara yang dinilai. Pengkaji membuat pemerhatian dan pemantauan tentang tahap kebolehan dan kemahiran murid-murid dalam menyelesaikan masalah dan kemahiran berfikir. Penilaian  bukan sahaja dari aspek kognitif, malah afektif juga. Pengkaji mengambil gambar semasa murid-murid menjalankan aktiviti sebagai bukti dan untuk membuat analisis. Penilaian adalah berdasarkan pemerhatian dan temubual dengan beberapa murid semasa pelaksanaan dan selepas projek.
4.0       DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian ini membentangkan hasil pemerhatian dan temubual yang dijalankan terhadap murid-murid. Dapatan kajian ini diperolehi berdasarkan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang iaitu:
a)    Perancangan dan pembentangan
b)    Proses membungkus
c)    Aktiviti jual beli
d)    Merekod untung rugi        
4.1       Perancangan dan pembentangan.
            Sepanjang projek dilaksanakan, secara keseluruhannya murid amat teruja untuk menjalankan aktiviti berjual beli. Mereka kelihatan sangat gembira dan bersemangat. Namun pada peringkat perancangan dan pembentangan rancangan, kumpulan perempuan dilihat lebih bersungguh-sungguh dan bekerjasama berbanding kumpulan lelaki yang kelihatan agak kurang bersemangat untuk berbincang dan bekerjasama antara satu sama lain. Hanya ketua kumpulan sahaja yang membuat kertas kerja seperti yang dikehendaki. Apabila ditanya kepada murid-murid lelaki yang lain mengapa keadaan sedemikian berlaku, mereka menyatakan bahawa mereka menyerahkan seratus peratus tanggungjawab kepada ketua kumpulan.
Perkara yang sama juga berlaku semasa pembentangan. Murid perempuan sentiasa bersedia dan secara sukarela untuk membuat pembentangan berbanding kumpulan lelaki yang membuat pembentangan selepas kedua-dua kumpulan perempuan selesai.
4.2       Proses membungkus   
Daripada pemerhatian pengkaji, peringkat yang paling sukar ialah semasa membungkus kerana memerlukan kemahiran menganggar dan menimbang. Proses ini memerlukan kemahiran berfikir dan penyelesaian masalah yang tinggi dalam menyesuaikan berat dan harga kos setiap bungkus, dikaitkan dengan jumlah bungkusan yang boleh didapati agar mendapat harga jualan yang sesuai untuk kumpulan sasaran iaitu murid-murid dan yang pasti dapat mendatangkan keuntungan. Di sinilah kreativiti murid dapat dinilai dalam mencari penyelesaian alternatif. Berbanding kumpulan yang menjual gula-gula, mereka lebih mudah menyelesaikan isu kuantiti, kos dan harga jualan. Ini kerana ia hanya melibatkan pengiraan kuantiti untuk dimasukkan ke dalam setiap bungkus tanpa memerlukan kemahiran yang lebih tinggi seperti menganggar dan menimbang. Hasil pemerhatian pengkaji adalah seperti berikut :
a)    Sampel pertama
·         Terdiri daripada pelajar lelaki
·         Membungkus emping jagung
·         Dapat membaca penimbang
·         Cekap menimbang
·         Cekap membungkus dengan berat yang  ditentukan
b)    Sampel kedua
·         Terdiri daripada pelajar perempuan
·         Membungkus emping jagung
·         Masih teragak-agak membaca penimbang
·         Kurang cekap dalam menimbang
c)    Sampel ketiga
·         Terdiri daripada pelajar lelaki
·         Membungkus gula-gula
·         Dapat menentukan kuantiti gula-gula dengan harga yang sesuai
d)    Sampel keempat
·         Terdiri daripada pelajar perempuan
·         Membungkus gula-gula
·         Cepat dan pantas dalam menentukan kuantiti gula-gula dengan harga yang sesuai
Semasa membungkus emping jagung, kumpulan lelaki lebih cekap menimbang dan membungkus dengan berat yang telah ditentukan. Mereka dapat membungkus dengan lebih pantas berbanding kumpulan perempuan yang lebih berhati-hati dan kelihatan seperti teragak-agak untuk menimbang berat setiap bungkusan.
Kumpulan yang membungkus gula-gula, seperti yang telah dinyatakan sebelum ini tidak menghadapi masalah yang besar dan berbezaan yang ketara di antara kumpulan lelaki dan perempuan. Ini mungkin ada kaitan dengan tugasan mereka yang dilihat lebih mudah berbanding membungkus emping jagung. Tugasan mereka juga tidak melibatkan kemahiran menimbang untuk menentukan berat tetapi hanya mengira kuantiti. Walaubagaimanapun, mereka dilihat mampu berfikir dengan pantas bagaimana untuk menyelesaikan masalah dengan membuat hubungan di antara kos, kuantiti, dan menetapkan harga jualan yang dapat memberi keuntungan.   
Sepanjang aktiviti membungkus dijalankan, semua ahli kumpulan dapat memberikan kerjasama yang amat baik dan memainkan peranan masing-masing dengan komited dan bersungguh-sungguh. Pada pendapat pengkaji, mungkin peringkat ini lebih menarik dan menyeronokkan berbanding peringkat merancang dan membuat pembentangan.
4.3       Aktiviti jual beli
Seterusnya pelaksanaan aktiviti jual beli dilakukan semasa waktu rehat. Setiap kumpulan dilihat berlumba-lumba untuk mencari pelanggan bagi melariskan produk masing-masing. Semasa aktiviti jual beli berlangsung, setiap kumpulan dapat menjalankan urusniaga dengan baik dan lancar.  Berikut adalah hasil temu bual pengkaji dengan sampel pelajar tentang konsep wang dalam aktiviti jual beli :
a)    Sampel pertama
Pelajar ini menyatakan tentang konsep wang iaitu operasi yang terlibat dalam aktiviti jual beli adalah
·         Sekiranya pembeli membeli dengan memberi wang besar, penjual perlu memulangkan baki wang. Operasi yang terlibat adalah penolakan.
b)    Sampel kedua
Pelajar ini menyatakan tentang konsep wang iaitu operasi yang terlibat dalam aktiviti jual beli adalah
·         Sekiranya pembeli membeli lebih daripada satu bungkus emping jagung atau gula-gula operasi yang boleh digunakan adalah penambahan atau pendaraban.
·         Apabila melibatkan pemulangan baki, operasi yang digunakan adalah penolakan.
c)    Sampel ketiga
Pelajar ini menyatakan tentang konsep wang iaitu operasi yang terlibat dalam aktiviti jual beli adalah
·         Operasi penambahan digunakan apabila pembeli membeli lebih daripada satu bungkus gula-gula
d)    Sampel keempat
Pelajar ini menyatakan tentang konsep wang iaitu operasi yang terlibat dalam aktiviti jual beli adalah
·         Operasi penambahan dan operasi penolakan
Mereka dapat menjual dan memulangkan wang baki dengan baik. Melalui temubual terhadap beberapa ahli kumpulan, mereka sudah mahir dengan wang. Ini kerana setiap murid mempunyai pengalaman dengan wang iaitu wang belanja harian yang mereka perolehi daripada ibu bapa dan membelanjanya di kantin sekolah. Dengan itu, semua murid tidak menghadapi masalah dengan aktiviti jual beli.
Apa yang berlaku pada peringkat ini adalah diluar jangkaan. Semua produk yang dijual begitu laris dan mendapat sambutan hangat daripada murid-murid tahun 3 ini sendiri terutamanya emping jagung. Belum sempat murid-murid dari kelas lain datang untuk membeli, setiap ahli kumpulan telah membeli terlebih dahulu. Kemudian baharulah mereka berlumba-lumba untuk mencari pelanggan bagi mempromosikan dan menjual produk masing-masing. Apa yang amat menggembirakan mereka ialah produk mereka semuanya habis dijual. Semasa mengira hasil jualan, terpancar cahaya kegembiraan dan kepuasan di wajah mereka.      
  4.4     Merekod untung rugi
Setelah mengira hasil jualan, mereka mencatatkan jumlah jualan dan mengambilkira kos-kos yang berlaku dalam mencari keuntungan yang diperolehi oleh setiap kumpulan. Oleh kerana perancangan yang rapi telah dibuat oleh setiap kumpulan pada peringkat awal, dan melaksanakan proses membungkus dengan baik, maka kesemua kumpulan mendapat keuntungan walaupun untungnya tidak besar. Murid sentiasa ditekankan bahawa untuk mendapat untung, harga jualan mestilah ditetapkan melebihi daripada harga kos. Hasil dapatan daripada temubual pelajar-pelajar tentang konsep untung rugi adalah seperti berikut :
a)    Sampel pertama
Pelajar menyatakan konsep untung rugi adalah wang yang diperolehi daripada hasil jualan.
b)    Sampel kedua
Pelajar menyatakan konsep untung rugi adalah wang yang diperolehi daripada hasil jualan adalah melebihi wang yang digunakan untuk membeli barang jualan.
c)    Sampel ketiga
Pelajar menyatakan konsep untung rugi adalah harga jualan melebihi harga kos.
d)    Sampel keempat
Pelajar menyatakan konsep untung rugi adalah wang yang dapat daripada jualan.
Secara tidak langsung, asas perakaunan telah diintegrasikan dalam pembelajaran mereka contohnya murid-murid telah diajar tentang merekod dan membuat akaun untung rugi. Pengkaji merasakan langkah ini adalah baik dalam melahirkan kanak-kanak yang bukan sahaja pintar matematik tetapi juga pintar dalam bidang perniagaan.
Sepanjang projek ini dilaksanakan, ia memerlukan pemantauan yang tinggi daripada pihak guru untuk memastikan kajian ini berjalan lancar. Untuk murid tahun 3, kajian ini adalah mencabar terutamanya semasa merancang dan membungkus barang jualan. Oleh itu pengkaji memberi garis panduan yang jelas dalam melaksanakan projek ini dalam setiap peringkat. Antara perkara yang berlaku ialah murid melakukan kesilapan semasa membaca alat timbang iaitu dengan melakukan ralat. Tetapi akhirnya murid faham konsep tersebut dan semuanya dapat diatasi kerana sentiasa diberi peringatan.
Pada pendapat pengkaji, kajian dalam projek ini berjaya menarik minat murid-murid mempelajari matematik melalui pembelajaran bertema iaitu ‘Hari Usahawan Muda’ ini. Ini kerana murid sentiasa bertanya ‘bila lagi nak laksanakan projek jual beli?’, ‘seronok la dapat menimbang dan membungkus’. Contoh-contoh ayat yang diungkapkan oleh murid-murid tersebut memberi gambaran bahawa mereka gembira dan sentiasa ternanti-nanti projek seperti ini dijalankan pada masa akan datang. Ini memberi petanda yang amat baik tentang sikap murid terhadap matematik melalui pembelajaran bertema.  


5.0       CADANGAN DAN KESIMPULAN
Pembelajaran bertema seperti Hari Usahawan Muda ini amat menarik minat murid-murid untuk mempelajari matematik. Dengan aktiviti seperti ini, ia dapat mengubah persepsi negatif murid-murid tentang matematik yang dilihat terlalu sukar dan membosankan oleh mereka. Tanpa mereka sedari, dengan melaksanakan projek ini, sebenarnya murid-murid dapat mengukuhkan kemahiran dan konsep matematik seperti kemahiran menganggar, menimbang, wang dan mengaplikasikan semua operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi dan yang paling penting iaitu kemahiran menyelesaikan masalah dalam projek Hari Usahawan Muda ini. Dengan projek yang dapat dilaksanakan ini dapat melahirkan murid-murid yang kreatif dan inovatif seterusnya mampu menyelesaikan masalah dengan mempunyai kemahiran berfikir yang baik.
Walaubagaimanapun, pada masa akan datang, pengkaji akan memastikan produk yang dipilih untuk dijual mampu memberi cabaran yang lebih baik kepada tahap pemikiran kanak-kanak pintar cerdas ini berbanding tugasan yang relatif mudah seperti menjual gula-gula. Pengkaji juga akan memikirkan tajuk yang lain yang sesuai untuk melaksanakan pembelajaran bertema seperti ini.
Guru-guru matematik yang lain juga disarankan untuk melaksanakan pembelajaran bertema seperti projek yang kumpulan kami laksanakan ini. Seperti yang telah dinyatakan, pembelajaran ini mendatangkan lebih banyak kebaikan dalam membantu proses pembelajaran murid secara lebih berkesan. Ini kerana pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan memberi keseronokan yang lebih berbanding teknik pengajaran yang biasa digunakan oleh guru-guru.
Selain itu, untuk melaksanakan projek seperti ini memerlukan tempoh masa yang panjang. Oleh itu ia memerlukan kebijaksanaan guru dalam mengurus masa agar murid tidak tertinggal terlalu jauh daripada silibus yang sepatutnya.
Seterusnya penilaian murid juga bukan hanya pada ujian tetapi boleh dinilai melalui kesemua domain iaitu kognitif, psikomotor dan yang paling penting afektif. Melalui projek seperti ini dapat memupuk semangat bekerjasama dan membentuk nilai-nilai yang positif dalam diri murid-murid.
Dalam melaksanakan pembelajaran bertema, peranan guru amat penting dalam memberi panduan kepada murid-murid melaksanakan sesuatu aktiviti. Guru tidak boleh lepas tangan dalam hal ini untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dan untuk memastikan aktiviti yang dijalankan mengikut seperti apa yang telah dirancangkan.
Kesimpulannya, pembelajaran bertema dapat membantu pembelajaran murid dalam memahami konsep matematik dengan lebih berkesan. Melalui konstruktivisme, murid juga dapat melakukan aktiviti dengan situasi yang sebenar dan menimba pengalaman yang dapat menambah pengetahuan mereka. Melalui pengalaman yang berguna sahaja yang dapat menjadikan murid memahami sesuatu konsep tanpa menghafal. Akhirnya dapat melahirkan murid-murid yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dengan menggunakan kemahiran pemikiran matematik yang tinggi, seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.       


        

Saturday 2 April 2011

LO8:STRATEGIES AND METHODS FOR TEACHING THE TALENTED

ARTIKEL 1:
http://www.azagt.org/teaching-gifted.html

ARTIKEL 2:
http://www.teachingexpertise.com/articles/know-want-know-learned-gt-classroom-strategies-6896

ARTIKEL 3:
http://www.ehow.com/list_6562910_gifted-talented-teaching-ideas.html

ARTIKEL 4:
http://www.ehow.com/list_6554170_ideas-talented-students-elementary-school.html
ARTIKEL  5:
http://www.freespirit.com/files/other/Teaching.Gifted.Kids.excerpt.pdf

LO7:APPROPRIATE CURRICULUM FOR THE TALENTED LEARNER

ARTIKEL 1:


ARTIKEL 2:

ARTIKEL 3:

ARTIKEL 4:

ARTIKEL 5:




LO6:KEY ISSUES AND PROBLEMS IN GIFTED CHILDREN

ARTIKEL 1:
http://giftedkids.about.com/od/socialemotionalissues/a/gtproblems.htm

ARTIKEL 2:
http://www.giftsforlearning.com/problems.htm

ARTIKEL 3:
http://www.brighthub.com/education/special/articles/53494.aspx

ARTIKEL 4:
http://www.sengifted.org/eleven_key_issues_webb.pdf

ARTIKEL 5:
http://www.suite101.com/content/understanding-the-gifted-childs-behavior-issues-a261129

LO5:IDENTIFICATION AND ASSESSMENT OF TALENTED LEARNERS

ARTIKEL 1:
http://www.direct.gov.uk/en/Parents/Schoolslearninganddevelopment/ExamsTestsAndTheCurriculum/DG_10037625

ARTIKEL 2:
http://www.comalisd.org/Curriculum_Instruction/Gifted_Talented_Files/Parent_Information_ID_and_Assessment.pdf

ARTIKEL 3:
http://www.lambeth.gov.uk/Services/EducationLearning/SchoolsColleges/SchoolsFurtherInformation/GiftedTalentedStudents/DefinitionsIdentificationGTStudents.htm

ARTIKEL 4:
http://www.decs.sa.gov.au/docs/documents/1/GiftedChildrenandStudents.pdf

ARTIKEL 5:
http://www.nicurriculum.org.uk/docs/inclusion_and_sen/gifted/gifted_children_060306.pdf